HULU SELANGOR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sedang merangka pelbagai program bantuan yang bersesuaian bagi pembangunan kaum itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran.

"Kita akan umumkan dalam masa terdekat sebab MITRA baru sahaja dikembalikan kepada Jabatan Perdana Menteri, baru sebulan.

"Jadi kita ada banyak mesyuarat untuk dibuat... dalam masa terdekat, kita akan umum banyak lagi faedah dan manfaat kepada masyarakat India," katanya kepada pemberita di program Ramah Mesra Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) bersama masyarakat India di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr Gunaraj George.

Prabakaran juga berkata program itu, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, bukan sahaja berjaya menarik kehadiran masyarakat India malah minat pelbagai kaum lain.

Beliau berkata pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat dan menyemak kelayakan bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan berkaitan.

Antara agensi yang menyertai program itu ialah Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan badan bukan kerajaan (NGO) Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA).

"Hari ini juga lebih 40 orang mendaftar dengan MITRA untuk memohon bantuan dan kita bukan hanya memfokus kepada Hulu Selangor ataupun Selangor (sahaja), (tetapi) kita memberi fokus dalam konteks nasional," katanya.

-- BERNAMA